Jatuh bangun dua sahabat tubuhkan Shoppegram.

Oleh Hazwan Faisal Mohamad, Berita Harian - 3 Mac 2020


...

Shoppegram adalah platform e-commerce yang menyediakan teknologi dan alat untuk penjual membina kedai online (e-commerce) bagi menjual produk dan servis di dalam website e-commerce mereka sendiri.

Gagal sekali, dua di dalam perniagaan sudah cukup untuk mematahkan semangat seseorang untuk meneruskan minatnya dalam bidang itu, apatah lagi jika perlu melaluinya sehingga 10 kali.

Namun, berbeza dengan dua sahabat baik ini iaitu Lutfi Azhar, 31, dan Aizuddin Manap, 31, yang tidak pernah kenal erti lelah dan putus asa apabila hanya berjaya merasai kemanisan kejayaan selepas cubaan kali ke-10 mereka sehingga tertubuhnya Shoppegram.

Shoppegram ialah platform untuk usahawan memiliki kedai dalam talian dalam bentuk laman web dengan mudah walaupun tiada pengetahuan teknikal atau kemahiran IT.

Bercerita lanjut mengenainya, Lutfi berkata, Shoppegram ditubuhkan pada akhir tahun 2013, selepas beliau dan Aizuddin melakukan 'hackathon' atau cabaran terhadap diri sendiri untuk menukar idea atau konsep kepada prototaip dalam tempoh 24 jam.

Jelasnya, cabaran sedemikian telah mereka lakukan sejak sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur lagi pada tahun 2004 dan ia telah menjadi rutin kedua-duanya setiap tahun.

"Sejak 2004 sehingga 2012, semua cubaan untuk menghasilkan sebuah projek termasuk syarikat pemula gagal dan tidak menerima sambutan orang ramai.

"Namun, pada 2013, cubaan ke-10 kami membuahkan hasil sehingga terhasilnya Shoppegram. Ketika itu, media sosial Instagram (IG) sedang meningkat naik dan ramai peniaga menjadikannya sebagai platform untuk menjual, maka dari situ wujudnya nama Shoppegram ini," katanya ketika ditemui BH, di Cyberjaya, baru-baru ini.

Pada awalnya katanya, Shoppegram berfungsi sebagai platform penyediaan katalog untuk memudahkan urusan peniaga di IG menghantar senarai produk yang mereka jual kepada pelanggan.

"Ini kerana, ketika itu, rata-rata peniaga mencampuradukkan akaun peribadi IG mereka dengan perniagaan menyebabkan urusan perniagaan menjadi tidak cekap dan lancar.

"Jadi, di sinilah peranan Shoppegram dan ia ternyata banyak membantu peniaga IG. Malah, ketika itu kami menawarkan kemudahan ini secara percuma sahaja," katanya

Lutfi berkata, di awal penubuhan Shoppegram, mereka berdua tidak menguruskannya dengan serius kerana masing-masing masih bekerja dan mempunyai komitmen sendiri.

Beliau ketika itu menjalankan perniagaan membina laman web manakala Aizuddin bekerja sebagai pembangun di sebuah syarikat IT.

Namun, ia berubah pada tahun 2015 selepas beliau banyak terbabit dalam sektor e-dagang dengan menawarkan perkhidmatan membina laman web e-dagang untuk pelanggan dan dari situ menyedari terdapat peluang dalam pasaran pembinaan kedai dalam talian.

Jelasnya, ramai peniaga terutama peniaga kecil mahu mempunyai kedai e-dagang tetapi tidak mampu kerana tidak mempunyai kepakaran untuk membinanya selain ia membabitkan kos yang tinggi sehingga ribuan ringgit jika mahu mengupah pakar untuk melakukannya.

"Dari situ, kami berdua buat keputusan untuk mengubah haluan Shoppegram ini dan membangunkannya secara berperingkat. Fokus kami ketika itu adalah untuk mengubah fungsinya daripada penyedia katalog kepada platform membina kedai dalam talian.

"Perjalanan platform ini agak perlahan kerana kami tidak mampu untuk mengupah pembangun memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi. Jadi, kami membangunkannya secara berdua dan mengambil masa hampir lima tahun untuk membangunkannya sepenuhnya.

"Shoppegram akhirnya berjaya dilancarkan pada 31 Ogos lalu dan kami berdua memutuskan untuk menguruskannya sepenuh masa sehingga kini," katanya.

Di awal pelancarannya, mereka berjaya menerima pelanggan pertama dari Terengganu, peniaga produk barangan bayi pada minggu pertama pelancarannya.

Namun katanya, pada bulan pertama beroperasi, mereka melihat terdapat masalah dihadapi pelanggan apabila mereka tidak dapat menyiapkan kedai dalam talian dengan baik kerana tidak mempunyai pengetahuan.

Dari situ katanya, mereka memutuskan untuk membuka kelas pada bulan kedua bagi mengajar pelanggan mereka cara yang betul untuk membina kedai dalam talian mereka supaya dapat berfungsi dengan baik dan kelihatan menarik selain menerima permintaan daripada pelanggan sendiri supaya diadakan kelas berkenaan.

Kami turut menambahbaik perkhidmatan kami dengan turut menyediakan panduan dalam bentuk video kepada pelanggan bagi memudahkan lagi kefahaman mereka," katanya.

Kajian daripada Statista yang menunjukkan pendapatan daripada sektor e-dagang di Malaysia pada tahun lalu adalah lebih RM12 bilion menguatkan lagi keyakinan kedua-dua anak muda ini bahawa perniagaan mereka itu mempunyai potensi besar dan cerah pada masa depan.

"Ketika ini kami menawarkan dua pakej kepada pelanggan iaitu yang pertama pakej asas bernilai RM349 dan premium berharga RM1,199 tidak termasuk harga kelas.

"Kami juga telah mempunyai lebih 500 pelanggan dan menyasarkan untuk meningkatkannya kepada 1,000 pelanggan menjelang akhir tahun ini," katanya.

Cabaran dihadapinya ketika ini ialah kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana pihak menyebabkan pihaknya tidak boleh untuk berkembang dengan lebih pantas.

Beliau juga kini sedang giat menumpukan tawaran perkhidmatan pendidikan kepada pelanggan semasa atau pelanggan berpotensi yang mahu belajar mengenai cara pembinaan laman web dan pemasaran digital.

Adakah anda dari media?

Jika ada sebarang persoalan atau ingin membuat liputan berkaitan Shoppegram, boleh hubungi kami melalui saluran di bawah.

Whatsapp (waktu pejabat)

Whatsapp

Email kami

[email protected]